Paralimpik Tokyo: Cheah Liek Hou hadiahkan emas kedua buat negara

BERITA membanggakan buat negara apabila memperoleh emas kedua hasil sumbangan Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou.

Kejayaan itu diperoleh dalam acara badminton perseorangan lelaki kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, sebentar tadi.

Pencapaian itu juga sekaligus menjadikan Malaysia dikurniakan emas buat kali pertama bagi acara tersebut memandangkan ia kali pertama dipertandingkan di Sukan Paralimpik.

Cheah Liek Hou menundukkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dengan kemenangan 21-17, 21-15 dalam aksi penuh selama 50 minit.

Atlet yang juga merupakan anak didik Datuk Rashid Sidek itu terus bangkit dengan aksi cemerlang pada set kedua sebelum berjaya meraih pingat emas.

Terdahulu, Liek Hou menempah slot ke final selepas menewaskan pemain dari Taiwan Fang Jen Yu 15-21, 21-10, 21-16 dalam aksi separuh akhir pagi tadi.

Untuk rekod, Liek Hou menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ketika aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikan dia muncul juara.

Pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting dalam kelas 72 kilogram (kg).