Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad buat permohonan maaf – “Maafkan saya”

KEPUTUSAN pembatalan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

Menerusi laporan Astro AWANI, rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara itu telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) sebentar tadi.

Ia bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).

Dalam reaksi pertama susulan pengumuman itu, Ziyad memuat naik satu status permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

“Maafkan saya,” tulisnya ringkas.

Atlet berusia 31 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepadanya.

Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum itu melakukan protes kepada jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status Muhammad Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi (DNS) walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir, yang berlangsung di Stadium Olimpik di Tokyo.

Ziyad sebelum itu secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya, dengan catatan 17.94 meter.

Kemenangan beliau bagaimanapun dibatalkan selepas atlet Ukraine, Maksym Koval, membuat bantahan.

Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Sumber: Astro AWANI