Anggota tentera lemas, mayat Lans Koperal Mohamad Azrin ditemui

MAYAT anggota tentera darat, Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dilaporkan hilang ketika menjalani latihan pada Ahad lalu, ditemui di Sungai Pahang kira-kira jam 7.55 pagi tadi.

Mangsa yang berusia 27 tahun itu ditemui dalam keadaan yang masih lengkap dengan pakaian celoreng, kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani, mayat mangsa ditemui orang awam yang turut terlibat dalam operasi mencari mangsa.

Operasi pencarian berkenaan terdiri daripada 141 anggota daripada pelbagai agensi serta 30 lagi bot dari pihak nelayan dan unit amal.

Setakat ini, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada jam 4.40 petang Ahad lalu, Mohamad Azrin yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai sebelum dia dilaporkan lemas.

Situasi malang yang menimpa mangsa turut mendapat perhatian , Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila Baginda turut mencemar duli melakukan tinjauan dan menyertai operasi pencarian.