Barcelona Terima Bantuan Kerajaan Qatar

Foto : AFP

BARCELONA – Beban kewangan skuad gergasi La Liga, Barcelona dijangka berkurangan selepas menerima ‘durian runtuh’ menerusi kerajaan Qatar yang bersetuju untuk memberi aliran tunai sebanyak €100 juta (RM502 juta) pada musim depan.

Nilai yang tinggi itu dilihat dapat membantu The Catalans untuk mendaftar pemain baharu selepas badan induk pengelola La Liga memberi lampu hijau apabila menganggap wang tersebut sebagai salah satu daripada aspek tajaan pasukan.

Difahamkan, Presiden Barcelona, Joan Laporta telah terbang ke Qatar pada awal tahun ini dalam usaha mendapatkan tajaan daripada pihak kerajaan untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan pasukan.

Bagaimanapun, terma tajaan itu masih belum didedahkan oleh kelab secara rasmi tetapi beberapa pemain baharu yang ditandatangani seperti Ilkay Gundogan, Inigo Martinez dan Oriol Romeu boleh didaftarkan bagi musim depan.

Malah, Barcelona turut dibenarkan untuk menawarkan kontrak baharu serta peningkatan gaji kepada beberapa pemain senior seperti Ronald Araujo dan kapten kelab, Sergi Roberto dalam masa terdekat.

Cuma, terdapat segelintir pihak mendakwa Laporta telah ‘menjilat ludah sendiri’ apabila mengemis wang daripada Qatar sedangkan sebelum ini dia mengkritik bekas presiden kelab, Josep Maria Bartomeu pada tahun 2016 yang melakukan perkara sama.

Ketika itu, Laporta telah menempelak keputusan Bartomeu untuk melakukan perjanjian jangka panjang dengan syarikat milik kerajaan negara Asia Barat itu, Qatar Airways sekali gus boleh berpotensi menggadai aset pasukan.

Sumber : Agensi