Laluan KM66.1 Lebuh Raya Karak Dibuka Semula

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – ANIH Berhad mengumumkan pembukaan semula laluan KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) kepada awam selepas insiden tanah mendap, Rabu lalu.

Menurut kenyataan akhbar daripada pemegang konsesi Lebuh Raya KLK tersebut, langkah-langkah komprehensif serta penilaian yang sewajarnya telah dilaksanakan bagi tujuan pemulihan semula.

“Kami dan pelbagai pihak terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Malaysia Rail Link (MRL) telah membuat penilaian segera dengan kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Kami bekerjasama untuk memastikan lebuh raya dapat dibuka dengan segera dan pada masa yang sama, memastikan semua pengguna jalan raya selamat dan selesa,” katanya.

Menurut ANIH Berhad, tindakan berselaras semasa usaha pemulihan dijalankan membolehkan masalah mendapan tanah itu diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Kami kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dan pemantauan keadaan jalan raya yang berterusan.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi perhatian utama kami,” katanya.

Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, para pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter, (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).

Rabu lalu Kosmo! melaporkan, kejadian mendapan tanah iaitu ‘sinkhole’ dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 66.1 arah Timur dan Barat Bentong, Lebuh Raya KLK.

Sumber : Kosmo