Suami Isteri Berdepan Hukuman Gantung, Dicekup Bersama Lebih 50kg Ganja

Foto: Sinar Harian

SUNGAI PETANI, 30 Ogos- Sepasang suami isteri bakal berdepan hukuman gantung apabila ditahan bersama 51 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 51,634 gram bernilai RM160,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Seri Astana, Sungai Petani,Kedah pada Isnin lalu.

Ketika serbuan, kedua-dua suspek bersama seorang anak perempuan mereka berusia setahun berada di rumah berkenaan,

“Dalam kejadian pukul 12.30 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan Bandar Astana,”katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai baru sahaja tiba di rumah berkenaan untuk berehat selepas mengambil bekalan dadah dari Kelantan untuk dihantar ke Perak.

“Hasil pemeriksaan menemui satu ketulan mampat dadah jenis ganja yang telah dibuka di dalam rumah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta kemudian menemukan 50 lagi ketulan mampat dadah jenis ganja di dalam boot belakang,”katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat Polis Daerah,IPD Kuala Muda pagi tadi.

Siasatan awal mendapati, suspek lelaki adalah dalang dalam aktiviti pengedaran dadah dan aktif sejak April lalu, berperanan sebagai “transporter” yang mengambil upah mengambil dan menghantar bekalan dadah jenis ganja dari negara jiran untuk diedarkan ke negeri sempadan mengikut permintaan.

Hasil ujian saringan air kencing, suspek lelaki yang mempunyai empat rekod lampau turut positif dadah.

Manakala isterinya negatif.

Jelas ACP Zaidy, polis turut menyita sebuah motorsikal jenis Honda RS150 bernilai Rm10,000.00.

Kedua-dua suspek direman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 28 Ogos hingga 3 September bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.