Remaja Panjat Tong Sampah Di Balkoni Sebelum Maut Terjatuh Dari Tingkat 12

Kuala Lumpur: Penemuan mayat remaja perempuan 14 tahun yang dipercayai jatuh dari tingkat 12 menggemparkan penduduk sebuah kondominium di Jalan Tiara, Titiwangsa, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan talian MERS 999 berhubung kejadian itu jam 8.20 malam.

“Mangsa adalah seorang remaja perempuan warga asing berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan di blok B kondominium terbabit.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik di lokasi pada jam 8.40 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, namun tiada CCTV di bahagian dalam rumah mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa memanjat sebuah tong sampah berwarna hitam di balkoni sebelum terjatuh.

“Mangsa menetap di Malaysia bersama ibu dan kakaknya sejak lapan tahun lalu, manakala bapanya kini berada di Bangladesh,” katanya.

Ashari berkata, siasatan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Polis Wangsa Maju menerusi Hotline 03-9289 9222, dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya.

Sumber: Harian Metro