SIRIM Beri 40 Gelandangan ‘Make Over’ Percuma

Seramai 40 gelandangan telah diberikan penampilan baharu yang menarik dan percuma oleh SIRIM Berhad menerusi khidmat gunting rambut menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, seramai tujuh tukang gunting rambut profesional mengambil bahagian dalam program Sirim Hopeful Haircuts Sahabat Jalanan berkenaan.

“Lazimnya masyarakat tertumpu kepada anak yatim dan tahfiz pada bulan Ramadan… tapi kita rasa sahabat jalanan ini terpinggir, jadi kami rasa terpanggil untuk meraikan sahabat-sahabat jalanan ini.

“Kita berkongsi kegembiraan sambutan Aidilfitri akan datang bersama sahabat-sahabat jalanan.

“Mudah-mudahan dengan program ini, mereka rasa dekat dengan masyarakat dan kita harap mereka boleh kembali sebagai ahli masyarakat yang bermanfaat,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana, di Kuala Lumpur.

Menurutnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu yang diadakan buat julung kali diharap dapat dijalankan sepanjang tahun bukan sahaja pada Ramadan.

Katanya, pihaknya juga merancang membuka kedai gunting rambut untuk orang ramai di pejabat Sirim Berhad, Shah Alam.

“Kita akan bangunkan pusat ‘hair care’ (rawatan rambut) di Shah Alam yang terbuka untuk semua orang dan memberi harga Rahmah kepada penduduk setempat. Kita juga akan berikan perkhidmatan percuma kepada gelandangan.

“Sirim sentiasa mahu berada di seluruh negara, bersama-sama masyarakat berkongsi rezeki yang ada dengan mereka yang kurang bernasib baik. Kami berharap agensi korporat lain akan turut serta dalam program ini,” katanya.

Gambar & Sumber : Buletin TV3 / Wikipedia