Bekalan Barang Cukup, Jangan ‘Panic Buying’

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub menasihatkan pengguna tidak melakukan pembelian panik pada musim perayaan ini memandangkan bekalan mencukupi.

Beliau berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri akan dilaksanakan selama 16 hari, bermula 15 April mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya pada Buletin TV3 di sidang media pengumuman skim itu.

Ditanya sama ada tempoh 16 hari pelaksanaan skim itu akan dilanjutkan, Salahuddin berkata, pihaknya tidak bercadang melakukannya kerana masa diberikan memadai.

“Saya pun faham mereka beraya sebulan kerana kita memikirkan keseluruhan bekalan rantaian agar semua pihak dapat menang-menang,” katanya.

Sebanyak 30 jenis barangan dikategorikan dalam SHMMP termasuk ayam dan telur ayam, selain daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung, dan mabung.

Peniaga diingatkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan seperti diumumkan.

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Sumber & Gambar : Buletin TV3