KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 kompaun dikeluarkan dan sebuah premis makanan atau minuman dikenakan tindakan arahan penutupan dalam Operasi Sepadu Bersih yang dilaksanakan sekitar ibu negara, semalam.
Tindakan penguatkuasaan tersebut diambil kerana gagal menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan yang sah, pemilik atau pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, sejumlah 62 premis dilawati manakala 20 daripadanya adalah pusat penjaja.
Walau bagaimanapun ujarnya, sebanyak 32 premis sahaja diperiksa manakala 30 lagi tidak beroperasi.
“Hasil daripada pemeriksaan, sebuah premis dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Sebanyak 58 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Pelesenan Penjaja WPKL 2016,” katanya.
Jelasnya, antara kesalahan lain yang dilakukan oleh premis-premis tersebut termasuklah perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik menyebabkan tersumbat, berbau serta sisa dan lemak melimpah keluar.
“Selain itu, lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam. Pembersihan ala kadar dan tiada jadual pembersihan secara berkala.
“Terdapat hurungan lipas di bahagian dapur premis dan menjalankan kerja pencucian di lorong belakang, hadapan dan tepi premis.
“Ada juga premis yang meletakkan bahan makanan dan perkakas serta alat kelengkapan memasak dan pinggan mangkuk di atas lantai,” ujarnya.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, ada antara premis yang tidak menggunakan bahan pembungkus bekas makanan dari produk biodegradasi dan tidak memasang alat cerobong penyedut asap.
Sehubungan itu, DBKL menegaskan pihaknya akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak-kehendak kesihatan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Sumber : Kosmo