SPR Umum PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram 9 SEPT

Foto : Berita Harian

PUTRAJAYA – 9 September ditetapkan sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, Mesyuarat khas SPR pagi tadi turut menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos 2023 dan pengundian awal 5 September 2023.

Jelasnya PRK bagi dua kerusi itu diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

“Bagi menjalankan proses PRK Parlimen P.161 Pulai, SPR telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh lima orang Penolong Pegawai Pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh
wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakilwakil calon yang bertanding,”katanya.

Sementara itu, tambah Tan Sri Abdul Ghani, bagi menjalankan proses PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor, SPR telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh tiga orang Penolong Pegawai Pengurus.

SPR katanya juga akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di Putrajaya.

Jelasnya jumlah keseluruhan anggaran peruntukan bagi kedua-dua PRK adalah sebanyak 6 juta ringgit iaitu masing-masing 4.5 juta ringgit di PRK Parlimen Pulai dan 1.5 juta ringgit bagi PRK DUN Simpang Jeram.

Seramai 3,370 petugas dilantik bagi mengendalikan kedua-dua PRK.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi PRK Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Manakala PRK DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.