Pengawal Keselamatan Maut Dipijak Gajah Liar

Foto : Aceh Portal

GUA MUSANG – Kegembiraan seorang pengawal keselamatan untuk memancing ikan di sebuah sungai bersama rakannya bertukar tragedi apabila dia maut dipijak seekor gajah liar di sebuah ladang kelapa sawit di Tanah Tinggi Lojing di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd. Marzuki Mohd. Nawi, 42, meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Pos Broke, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakannya masing-masing menunggang motosikal dan mereka sedang dalam perjalanan ke sebatang sungai di kawasan ladang MJB Forestry Lojing Gua Musang untuk memancing ikan.

Menurutnya, ketika sedang mendaki bukit, Mohd. Marzuki dan rakannya terserempak dengan dua ekor gajah dewasa yang keluar dari kawasan ladang kelapa sawit.

“Dua lelaki itu cuba melarikan diri sebelum mereka terjatuh dari motosikal. Rakan mangsa yang berada di belakangnya sempat melarikan diri.

“Selepas dua ekor gajah terbabit meninggalkan tempat kejadian, rakannya itu datang kembali ke lokasi tersebut sebelum mendapati Mohd. Marzuki sudah berada di dalam semak dan sedang mengerang kesakitan,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Choon Foo memberitahu, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke di sini oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, Mohd. Marzuki disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang semasa menerima rawatan di klinik berkenaan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan ‘traumatic lung injury’. Pemeriksaan fizikal turut mendapati ada kesan lebam dan luka di sebelah pinggang kiri mangsa dipercayai dipijak gajah terbabit.

“Polis menemui kesan tapak kaki gajah di lokasi kejadian. Laporan hasil bedah siasat didapati konsisten dengan keterangan kejadian dan saksi bahawa mangsa maut akibat dipijak gajah,” ujarnya.

Choon Foo berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan.

Sumber : Kosmo