Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) bentang isu dan cadangan kepada Rina Harun, isu kesihatan mental kanak-kanak jadi tumpuan 

berita semsa

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini mengadakan program Persidangan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) Tahun 2022 yang diadakan di Bangunan KPWKM, Putrajaya.

Antara topik yang menjadi tumpuan ialah isu jenayah seksual dan penderaan dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, pelbagai isu dan topik telah dibentang dari wakil MPKK yang komited dan cakna terhadap situasi semasa.

Majlis dihadiri kira-kira 150 MPKK dari seluruh Malaysia

“Antara isu dan resolusi yang diketengahkan ialah berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian, penderaan kanak-kanak dan inisiatif untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak.

“Turut dibincangkan ialah isu kesihatan mental kanak-kanak, statistik tumbesaran kanak-kanak serta pendapat tentang pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3,” katanya melalui satu hantaran di laman media sosial Instagram dan Facebooknya petang tadi.

Menurut Rina lagi, golongan kanak-kanak ini diberi peluang untuk mengemukakan isu serta cadangan kepada agensi yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Antara peserta yang hadir

“Inilah yang kita harapkan agar anak-anak kita mewarisi dan menjadi pelapis masa hadapan selaras dengan aspirasi negara,” ujarnya.

Program tersebut disertai seramai 150 ahli
MPKK yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk wakil Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU).