Lari Tinggalkan Air Ketum, Sanggup Membeli Di Kedai ‘Non-Muslim’, Kaki Ponteng Puasa Dikhuatiri Cemar Imej Islam

BEBERAPA individu bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa dalam Ops Ramadan di pondok rehat berhampiran chalet terbengkalai di Kuala Nerang, Selasa semalam.

Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Ahmad Muzzamil Yub berkata, Ahmad Muzzamil berkata, hasil pemeriksaan menemui beberapa botol air ketum ditinggalkan kaki ponteng puasa di pondok rehat itu.

“Ketika pemantauan dilakukan lapan anggota diketuai Ketua Unit Penguat kuasa, Zafri Zainul Abidin, kita turut mengesan rokok masih berasap dipercayai dibuang individu tersebut.

“Kita melakukan pemantauan di banyak tempat sekitar Padang Terap selain pondok rehat itu dan mendapati lebih kurang 13 individu yang bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau turut memberitahu, pihaknya turut mengesan taktik lain digunakan golongan kaki ponteng puasa ini termasuklah kesanggupan membeli makanan di kedai bukan Muslim.

Pihaknya mendapati ada beberapa individu membeli bungkusan nasi dipercayai diletakkan oleh peniaga Islam di kedai bukan Islam dan kedai runcit.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memberi amaran kepada individu terlibat kerana perbuatan itu dikhuatiri mencemarkan imej Islam.

Menurutnya, tindakan juga boleh diambil kepada individu yang makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Beliau memperingatkan, mana-mana individu yang dikesan tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok dan benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum ataupun dihisap dalam waktu berpuasa boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (a) enakmen sama.

Terangnya, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali bagi kedua-kedua kesalahan itu.

Beliau mohon agar masyarakat Islam terutamanya dalam daerah Padang Terap jika mengesan perkara itu terus mengemukakan aduan melalui imam kariah atau Pejabat Agama untuk tindakan lanjut.

Sumber gambar – Sinar Harian | Sumber laporan – Sinar Harian