Mahkamah Kuwait Jatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun Terhadap Jho Low

MAHKAMAH di Kuwait mensabitkan ahli perniagaan dalam pelarian, Jho Low, atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Prosiding kes itu dilakukan tanpa kehadiran Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho. 

Memetik laporan akhbar Kuwait, Al-Qabas, seorang sheikh dan rakan kongsinya termasuk dua lagi warga asing dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Dalam pada itu, seorang peguam dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Malaysia.

Justeru, mereka diperintahkan untuk memulangkan AS$1 bilion (kira-kira RM4.4bilion), selain perlu membayar denda berjumlah KD145 juta (kira-kira RM2 bilion).

Bagaimanapun, akhbar tersebut tidak mendedahkan nama sheikh terbabit termasuk rakan kongsi, juga peguam berkenaan.

Namun, ia hanya menyebutnya sebagai ‘dana Malaysia’.

Laporan itu menyebut, ia berkait kes pengubahan wang haram terbesar selain mengenal pasti identiti wang asing itu sebagai Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis bernama Bachar Kiwan.

Sementara itu, portal Sarawak Report turut melaporkan, dana Malaysia itu merujuk kepada 1MDB.

Selain itu, portal sama dedah sheikh yang disebut-sebut itu didakwa adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah.

Manakala, rakan kongsi yang dikaitkan didakwa sebagai sekutu Low iaitu Hamad Al Wazan dan peguamnya, Saud Abdelmohsan.

Al-Qabar melaporkan kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan KD343,700,000 (kira-kira RM4.95 bilion).

Dakwa agensi berita itu, lima individu terbabit mengetahui bahawa wang berkenaan adalah hasil haram yang diseleweng daripada dana pelaburan Malaysia.

Akhbar itu melaporkan bahawa kes berkenaan ditangguh selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihaknya pendakwaan berdepan halangan untuk memperoleh maklumat dari luar negara.

Sumber gambar – New Straits Times | Sumber laporan – Harian Metro