Jurulatih Selam Ditahan Kerana Cium Wanita Datang Belajar Menyelam

Gambar Hiasan | Gambar : PADI

PEMBANTU jurulatih selam ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China, di Semporna, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintenden Arif Abdul Razak, berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah penginapan atas air, dekat sini, selepas mangsa membuat laporan jam10.03 pagi kelmarin.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku pada Jumaat kira-kira jam 1.00 tengahari.

“Mangsa mendakwa telah dicium pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selaman skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini,” katanya menerusi kenyataan kepada Berita Harian.

Beliau berkata, sebaik laporan dibuat mangsa kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.

Katanya, suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial Facebook dengan perkongsian beberapa keping gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba, selain tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa serta laporan polis.

Sumber : Berita Harian