Warga Emas Ditahan Bawa Pendatang Tanpa Izin

Gambar : Ihsan Polis

SEORANG lelaki warga emas ditahan selepas disyaki membawa tiga warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Memetik laporan Berita Harian, penahanan dibuat di Jalan Kampung Bendang Nyior di Tanah Merah, malam kelmarin selepas suspek yang berusia 63 tahun itu memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata pihaknya menahan Produa Bezza dipandu lelaki itu yang datang dari arah Bendang Nyior menuju Bukit Kechik ketika melakukan tugas ‘snapcheck’ di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan mendapati tiga pendatang asing tanpa izin warga Myanmar yang juga penumpang kenderaan itu tiada mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah untuk tinggal di Malaysia.

“Lelaki terbabit memberitahu pendatang yang berusia antara 17 hingga 42 tahun terbabit dibawa dari Lembah Kelang dan ingin ke Rantau Panjang.

“Kita sedang membuat siasatan lanjut berhubung tangkapan ini mengikut Seksyen 55E / 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sumber : Berita Harian