Empat Kilang Kotor Dan Jijik, Diarah Tutup 14 Hari

Gambar hiasan | Foto : Berita Harian

MELAKA – Jijik, najis tikus bersepah. Empat buah kilang pembuatan makanan diarah tutup berikutan tahap kebersihatan tidak memuaskan dalam Operasi Bersepadu Kilang oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Operasi yang dijalankan pada 31 Julai lepas dan semalam membabitkan kilang di Bukit Rambai, Batu Berendam, Serkam dan Umbai.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan berkata kesemua kilang tersebut diarah tutup maksimum 14 hari atau sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan dan mendapat kebenaran beroperasi semula.

Beliau berkata enam kompaun bernilai RM15,000 turut dikeluarkan terhadap kesemua premis berkenaan kerana tidak mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Perkilangan Baik (GMP) serta Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) selain tiada kursus pengendali makanan dan suntikan antitifoid.

“Arahan penutupan kilang terbabit dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 antaranya terdapat najis tikus, puntung rokok bersepah di lantai premis dan terdapat peralatan yang tidak digunakan berada dalam premis seperti longgokan kayu, plastik dan tin kosong selain stor tidak bersih,” katanya.

Menurut Dr Rusdi 13 kilang pembuatan makanan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin diperiksa dengan 15 kompaun bernilai RM35,200 turut dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana tidak mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan.

Operasi katanya disertai 30 anggota Jabatan Kesihatan Melaka.

Tambah beliau, sejak 1 Jan tahun ini hingga semalam, pihaknya telah memeriksa 61 kilang pembuatan makanan dengan lima daripadanya diarah tutup manakala 37 kompaun bernilai RM48,000 dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana kebersihan tidak memuaskan.