Tahanan Warga Asing Meninggal Dunia Ketika Dirawat

Gambar hiasan | Foto : Healio

KUALA LUMPUR – Seorang tahanan lelaki warga Kenya meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan kesihatan Beluru, Marudi, Sarawak, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad berkata, Orang Kena Tuduh (OKT) berusia 50 tahun itu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada hari yang sama.

“Semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi, OKT itu mengadu sakit dada dan sukar bernafas.

“Dia segera dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Azri, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan klinik pada pukul 10.30 malam.

Azri berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Miri untuk mengetahui punca kematian, Khamis ini.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. 

Sumber : Kosmo