Diserbu Ketika Sedut Minyak Diesel Bersubsidi

Foto : Kosmo

SUBANG JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 56,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM121,217 dalam serbuan sebuah stor penyimpanan minyak terbabit di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Dalam serbuan pukul 9 malam itu, sedang berlaku aktiviti menyedut minyak yang disyaki diesel membabitkan instrumen seperti hos yang bersambung dengan pam penyedut minyak dipercayai dilakukan tiga individu di lokasi itu.

Pengarah KPDN Selangor Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, operasi dilakukan hasil risikan selama dua bulan dan disyaki terdapat aktiviti pergerakan kenderaan jenis lori keluar masuk di premis terbabit.

“Premis terbabit dijadikan sebagai tempat menyimpan atau stor simpanan minyak diesel secara haram.

“Hasil serbuan mendapati, terdapat satu lori tangki berada di dalam kawasan premis disyaki sedang membuat pengisian minyak diesel dari dua buah skid tank dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Tambah beliau, aktiviti menyedut minyak yang disyaki diesel dipercayai dilakukan oleh tiga suspek yang ditemui berada di dalam premis ketika serbuan.

“Semua suspek berusia lewat 50-an dipercayai pemandu lori dan pekerja premis ditahan untuk siasatan lanjut.

“Serbuan berjaya merampas sejumlah 56,000 liter dengan anggaran nilai sitaan RM 121,217 dan anggaran nilai sitaan keseluruhan dalam tindakan kes ini adalah sejumlah RM 343,417,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil tindakan ke atas premis terbabit mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya membabitkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang menjadi antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

“KPDN Selangor juga meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perlakuan perdagangan domestik,” katanya.

Sumber : Kosmo