Selepas Kehilangan Anak Dan Menantu Dalam Kemalangan, Nenek Ini Kuatkan Diri Jaga Empat Cucu Yatim Piatu

Foto : Kosmo

BATU GAJAH – Nenek salah seorang mangsa dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu baru-baru ini menggagahkan diri demi menjaga empat orang cucu-cucunya yang menjadi anak yatim piatu sekelip mata.

Empat beradik tersebut ialah Nur Fatin Syafikah Mohd. Ramddan, 18; Muhammad Ikhman Hafifi, 17; Muhammad Aiman Daniel, 13, dan Nur Fatihah Najihah,7.

Noraini Ahmad, 63, berkata, dia tidak menyangka akan kehilangan anak dan menantu serentak dalam kemalangan tersebut.

“Pada hari kejadian, anak saya, Mohd. Ramddan Abd. Rahim ada sedikit perubahan iaitu tiba-tiba sahaja suka mengambil gambar (berselfie), selama ini, dia tidak gemar ‘selfie-selfie’ ini.

“Tak sangka itu perubahan dan kenangan yang ditinggalkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Serkai Jadi, Tronoh di sini hari ini.

Noraini berkata, dia perlu kuat walaupun masih dalam rawatan dan pemantauan dari pihak hospital akibat cedera parah untuk menjaga cucu-cucunya.

Noraini yang merupakan pemandu ketika kejadian berlaku berkata, mereka dalam perjalanan untuk menghantar bantal dan beberapa keperluan lain untuk cucunya, Nur Fatin Syafikah yang baru berdaftar di Kolej Matrikulasi Perak.

“Sebenarnya saya mengelak anjing yang melintas, tetapi ketika saya sedar, saya sudah pun berada di hospital. Namun begitu, saya masih bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk menjaga cucu-cucu saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tiee Siang berkata, pihaknya akan mengambil kempat-empat anak tersebut menjadi anak angkat kepada Pusat Khidmat DUN Tronoh.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian kemalangan pada 11 Julai lalu, Mohd Ramddan Abd Rahim dan Kisdalliana Saad terkorban dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu manakala Noraini Ahmad dan Nur Fatihah Najihah cedera parah.

Sumber : Kosmo