Pegawai Kanan, Pengarah Syarikat Ditahan Rasuah RM13 Juta

Foto : Kosmo

Seorang pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa sektor perlombongan berjumlah lebih RM13 juta.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Wan Shahida Abd. Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar selain Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas permohonan reman dibuat SPRM.

Menurut sumber, suspek masing- masing berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan petang Selasa sekitar Alor Setar dan Kuala Lumpur.

“Aktiviti perlombongan dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020.

“Sehubungan itu, hasil siasatan dijalankan berjaya mengesan bahawa beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan melindungi kegiatan perlombongan haram antara tempoh 2020 hingga 2023,” katanya tadi.

Sumber menambah, syarikat milik wanita ditahan reman itu dipercayai mendapat kelulusan menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen sekitar Kedah sejak 2016 lagi.

“Projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan terlibat.

“Pada tahun 2020, syarikat sama telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen sama.

“Namun, setakat ini tiada kelulusan diberikan kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Sumber : Kosmo