AI Dijangka Berkembang Lebih Pesat Lima Tahun Lagi

Gambar : Wikipedia

PERSEKUTUAN Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia bakal berkembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, AI sememangnya dapat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam melaksanakan aktiviti perniagaan dengan lebih cekap.

Menurutnya, teknologi itu dapat mengurangkan tenaga kerja manusia dan boleh menurunkan kos operasi.

“Menurut Microsoft dan IDC Asia/Pasific, penggunaan AI boleh meningkatkan produktiviti Malaysia sehingga 60 peratus, manakala McKinsey menyatakan sebanyak 50 peratus daripada masa kerja digunakan untuk aktiviti berulang yang mana ia senang diautomasikan.

“AI dan pembelajaran mesin boleh membantu mengurangkan masa yang digunakan dengan cara menerapkan teknologi itu ke dalam proses perniagaan harian melalui analisis data pintar, risikan pemasaran, serta menyediakan ‘chatbot’ automatik untuk berinteraksi dengan pelanggan dan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, Forum Ekonomi Dunia (WEF) melaporkan gangguan besar akan berlaku terhadap ekonomi global dalam tempoh lima tahun akan datang apabila lebih banyak syarikat mengguna pakai AI.

Sementara itu, Syed Hussain memaklumkan Malaysia telah mencatatkan penggunaan Industri 4.0 kurang memberangsangkan dengan kadar perniagaan yang menggunakan teknologi AI adalah sebanyak 15 hingga 20 peratus.

Katanya, kerajaan telah menggariskan rangka kerja untuk penggabungan AI dalam pelbagai sektor ekonomi.

Beliau berkata, perkara itu terdiri daripada Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Malaysia 2021-2025 (AI-Rmap) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) yang diterajui oleh MyDigital Corporation dan Unit Perancangan Ekonomi.

“Bagaimanapun, AI akan meningkatkan kecekapan proses kerja dengan membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk diterokai.

“Ia juga akan mendorong majikan membuat peningkatan pelaburan penting dalam AI untuk meningkatkan daya saing mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, Syed Hussain menjelaskan kerajaan hendaklah meningkatkan insentif dan sokongan kepada industri untuk memacu agenda ekonomi digital.

“Ia penting dalam menyediakan sokongan, pembiayaan dan insentif cukai kepada PMKS serta memastikan Malaysia mempunyai tenaga mahir dan kepakaran untuk memacu pelaksanaan AI,” ujar beliau.

Sumber : Sinar Harian