GSC Alamanda Henti Operasi 13 Ogos Ini

Foto : Alamanda

Golden Screen Cinemas (GSC) memaklumkan cawangannya di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya akan menghentikan operasinya berkuat kuasa 13 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri pihak GSC menerusi hebahan di media sosialnya hari ini.

“Lima belas tahun sejak kami membuka pintu pada 5 April 2008, kami rasa bangga dapat berkongsi banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan bersama anda.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada anda selama ini. Senyuman, ketawa dan tepukan anda akan sentiasa bergema di hati kami,” ujar GSC dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, bagi penduduk sekitar Putrajaya atau berhampiran yang ingin menonton, masih boleh berbuat demikian di GSC IOI City Mall 1 dan 2.

Kebanyakan pengguna media sosial turut berkongsi rasa sedih dan mengimbau kenangan ketika menonton wayang di situ.

Sumber : Kosmo