Spidercat superhero terbaharu The Avengers?

ANGGOTA terbaharu The Avengers? Seekor kucing baka British shorthair di China mendapat jolokan ‘Spidercat’ kerana memiliki kebolehan memanjat luar biasa seperti adiwira Spiderman, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar Daily Mail kelmarin, kucing bernama Qiqi itu dirakam memanjat dinding rumah tuannya di bandar Leshan, wilayah Sichuan, China secara bersahaja.

Menurut pemiliknya yang dikenali sebagai Luo, Qiqi berusia tiga tahun dan memang gemar memanjat untuk sampai ke tempat lebih tinggi seperti dinding rumah. Haiwan itu kerap bermain dan melompat ke sana sini.

Kata Luo, dia sering memerhatikan Qiqi apabila menyedari ‘hobi’ memanjat dinding tersebut kerana bimbang haiwan kesayangannya terjatuh ke lantai.

Selepas beberapa ketika, Qiqi berjaya meyakinkan Luo dengan kecekapannya. Luo juga mula berkongsi video Qiqi memanjat di platform Douyin.

Aksi memanjat dinding Qiqi menerima pujian netizen yang kagum dengan kehandalan haiwan comel itu.

“Adakah ini Spiderman versi kucing? Inikah yang dikatakan Spidercat?” komen seorang pengguna media sosial.

“Saya rasa seperti sedang melihat cicak melekap di dinding dan bukannya seekor kucing,” tulis seorang lagi.

Sumber: Kosmo!