“Harapkan pegar, pegar makan padi” – Warden wanita Sekolah Henry Gurney positif syabu, amphetamine

FOTO: berita harian

SEORANG warden wanita di Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas, di sini, direman tiga hari selepas didapati positif dadah, lapor Berita Harian.

Ibu kepada lapan anak berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.15 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid, berkata tangkapan dibuat hasil maklumat daripada penyelia sekolah itu mengenai kesalahan dilakukan suspek.

“Sepasukan anggota bergegas ke sekolah itu sebelum membawa suspek di IPD untuk saringan ujian air kencing dan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan syabu.

“Pemeriksaan bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang bersama suspek,” katanya kepada Berita Harian.

Zulkiflee berkata, suspek yang tinggal di Serkam, Jasin bertugas sebagai warden di SHG selama 16 tahun dan siasatan lanjut mendapati, suspek mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.

“Suspek yang juga ibu kepada lapan anak berusia antara tiga bulan hingga 14 tahun itu direman tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: berita harian