Andi Bernadee dedah disihir wanita bekas rakan sekerja – “Saya meraung, memekak tak ingat dunia”

PENYANYI terkenal Andi Bernadee, mendedahkan menjadi mangsa dengki hingga disihir dalam laman Instagram (IG) lewat tengah malam, semalam.

Menerusi video dimuat naik, Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile, 30, menunjukkan dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya. Tak ketinggalan, katak kering juga ditemui atas bumbung kediamannya.

“Ini bukan kali pertama saya kena sihir. Saya penat merasa kesakitan yang dahsyat sekitar dua tiga tahun lalu. Hinggakan saya terpaksa pergi berubat di Jogjakarta, Indonesia.

“Sebelum ini, saya pernah termakan benda kotor yang diletak dalam makanan. Dan, saya terkena lagi beberapa hari lalu buat kali kedua. Rakan serumah terpaksa memanggil ustaz untuk mengubati saya selepas Asar, petang semalam.

“Saya susah nak lelap mata serangan kali ini. Mata rasa nak tutup, tetapi tidak dapat tidur. Saya berjaga sepanjang malam dan hanya tidur pada sebelah pagi. Selera makan bertambah hingga perut menjadi buncit ,” katanya kepada BH Online.

Perkongsian Andi di Instagram.

Andi yang baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Kais Pagi Kais Petang juga berkata dia sebenarnya menjadi mangsa dengki seorang wanita.

“Sejujurnya, saya tak mahu percaya semua ini. Saya cuba kuat, namun tewas juga. Kali ini, saya tak sedar diri ketika dirasuk hingga ustaz datang mengubati.

“Rakan serumah memaklumkan saya meraung dan memekak tak ingat dunia. Ustaz memaklumkan wanita yang dimaksudkan pernah bekerja dengan saya. Cuma, tidak dijelaskan sama ada di kalangan artis atau sebaliknya.

“Ustaz akan datang berubat ke rumah selama tiga hari. Setakat ini, insya-Allah saya semakin okay,” katanya.

Andi mohon diberikan ruang berehat.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu berkata, dia jenis tidak gemar bersosial dan banyak menghabiskan masa di rumah.

“Saya suka buat hal sendiri, tak melepak di luar atau bersosial. Saya tak tahu apa salah saya hingga diperlakukan seperti ini. Saya anggap ini ujian Allah,” tambah Andi.

Dalam pada itu, semakan terbaharu TheNewsMalaysia di Instagram Andi melihat dia baru sahaja memuat naik satu Story meminta untuk diberi ruang untuk berehat.

Dia juga meminta sebarang pertanyaan media terus diajukan kepada pengurusnya.

Sumber: berita harian