SEORANG wanita yang sebelum ini pernah tular kerana menjana pendapatan lebih RM800,000 hanya kerana menjual kentutnya yang dimuatkan di dalam balang akhirnya terpaksa berhenti berbuat demikian selepas dimasukkan ke hospital.
Lebih malang, individu yang dikenali sebagai Steph Matto itu dimasukkan ke hospital kerana kentut secara berlebihan, lapor Kosmo.
Matto, 31, yang juga merupakan bekas bintang realiti televisyen di Amerika Syarikat dikejarkan ke unit kecemasan sebuah hospital selepas mengalami kesakitan pada dadanya.
Dia pada mulanya menyangka diserang sakit jantung atau strok dan akan meninggal dunia pada bila-bila masa.
Doktor melakukan ujian darah kemudian memaklumkan bahawa gejala yang dialami wanita itu adalah kerana badannya menghasilkan terlalu banyak angin yang berpunca daripada amalan pemakanannya yang kerap memakan telur, kekacang dan pisang.
“Saya fikir saya diserang sakit jantung atau strok. Saya telah melakukannya secara berlebihan,” katanya.
Matto mula menjual kentut pada November tahun lalu selepas menerima permintaan daripada laman web dewasa Unfiltrd.
Namun, Matto mula merasakan sesuatu tidak kena pada badannya ketika dia berbaring dan merasakan tekanan pada bahagian perut.
“Saya sukar bernafas dan setiap kali saya cuba untuk bernafas, saya berasa seperti hati saya dicubit,” jelasnya
Matto dinasihatkan untuk mengubah dietnya dan mengambil ubat penahan angin. Dia juga telah berhenti daripada menjual kentutnya di dalam balang.
Sumber: Kosmo