Home Berita Semasa Nahas Helikopter: Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 Dibatalkan

Nahas Helikopter: Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 Dibatalkan

 

Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat TLDM.

“(Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90) dibatalkan dan digantikan dengan tahlil dan doa selamat.

“(Keputusan) ini dibuat atas perkenan Sultan Selangor. Difahamkan, baginda pun akan mencemar duli bagi majlis berkenaan,” katanya pada sidang media di Lumut, Perak hari ini.

“Setakat ini, keluarga mangsa yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah sudah dibawa ke sini dan mereka akan terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Kementerian, ATM dan TLDM juga akan menyalurkan manfaat dan faedah sewajarnya kepada balu dan waris mangsa, selain berterima kasih kepada semua pihak, terutama pegawai dan kakitangan Hospital Lumut serta pegawai pemerintah dan kakitangan,” katanya

Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas melibatkan dua buah helicopter TLDM.

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 Kdr Muhammad Firdaus Ramli, Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia Rohna.

Sementara itu, dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad, Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Sumber : Berita Harian