Presiden Brazil masuk hospital gara-gara usus tersumbat

PRESIDEN Brazil, Jair Bolsonaro dikejarkan ke hospital kerana mengalami sakit perut semalam. 

Para doktor yang merawatnya menyatakan kesakitan yang dialami Bolsonaro berpunca daripada masalah usus tersumbat, lapor Kosmo.

Bolsonaro, 66, dikatakan sedang bercuti di sebuah pantai dalam negeri Santa Catarina, selatan Brazil apabila perutnya mula sakit

Ia merupakan masalah kesihatan terbaharu Bolsonaro sejak beliau ditikam pada perut semasa kempen pilihan raya 2018 yang dimenanginya.

Pemimpin berhaluan kanan itu dibawa ke Sao Paulo dengan menggunakan pesawat Presiden.

Saluran televisyen Brazil, TV Globo menyiarkan gambarnya berjalan tanpa dibantu. Manakala pejabat Presiden menjelaskan Bolsonaro berada dalam keadaan baik.

Presiden Brazil itu menyiarkan gambar beliau berada di katil hospital di laman Twitter sambil menunjukkan isyarat ibu jari bagus. Menurut Bolsonaro, beliau mungkin perlu dibedah kerana ususnya tersekat.

“Saya mula berasa tidak sihat selepas makan tengah hari kelmarin. Saya tiba di hospital pada pukul 3 pagi hari ini (semalam).

“Mereka (pasukan perubatan) memasukkan tiub nasogastrik,” katanya di laman Twitter selepas dimasukkan ke Hospital Vila Nova Star di Sao Paulo. 

Tiub itu digunakan untuk memasukkan makanan dan ubat ke dalam perut melalui hidung pesakit.

Pasukan perubatan Bolsonaro berkata, beliau mengalami usus tersumbat separa dan kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, doktor-doktor yang merawat Presiden itu tidak pasti bila beliau dibenarkan keluar daripada hospital.

Sumber: Kosmo