Kes Gaduh Di Pandan Indah : Sindir-Menyindir Di TikTok Jadi Punca Bergaduh, 8 Lelaki Ditahan

Foto : Kosmo

AMPANG JAYA – Seramai lapan lelaki termasuk remaja berusia 19 tahun ditahan polis kerana terlibat dalam kes rusuhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak semalam hingga pukul 3 petang tadi.

Menurutnya, panggilan daripada orang awam berkaitan pergaduhan tersebut diterima kira-kira pukul 10.56 malam, semalam.

“Semasa tangkapan dibuat, topi keledar dan kerusi yang digunakan semasa kejadian turut dirampas. Siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan perselisihan faham berkenaaan dua kumpulan kelab motosikal yang berjumpa untuk berbincang.

“Namun terjadinya pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan. Kejadian juga berpunca daripada sindir-menyindir menerusi media sosial iaitu aplikasi TikTok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dua orang daripada tangkapan tersebut mempunyai kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek dipohon reman di Mahkamah Ampang pada hari ini dan dibenarkan reman selama empat hari sehingga Sabtu,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan membawa hukuman diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, tular di media sosial video pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki dipercayai berkumpul di kedai berkenaan sebelum berlaku pergaduhan.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan pergaduhan membabitkan lebih daripada 10 orang lelaki yang berbalas pukulan, dan membaling kerusi kepada individu lain.

Turut kelihatan beberapa pengunjung yang tidak terlibat dengan rusuhan itu beredar daripada lokasi tersebut kerana risau turut cedera dengan insiden itu. 

Sumber : Kosmo