Konsert Double Trouble 2 Bukan Medan ‘Bertarung’ Antara Barbarik Dan Search

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Konsert Double Trouble 2 yang menggabungkandua band gergasi, Search dan Barbarik yang bakal berlangsung 5 Ogos ini bukan gelanggang untuk bertarung sesama sendiri.

Akui vokalis Barbarik, Muss atau Mustaffa Din, persembahan mega yang akan mencipta sejarah itu diharap menjadi medan untuk mereka meninggalkan memori manis kepada peminat.

“Kita tak mahu tunjukkan siapa hebat, siapa paling menyerlah. Sebaliknya konsert ini adalah perkongsian pentas yang membariskan seleksi daripada album Double Trouble 2 serta lagu hits lain.

“Dalam konsert ini nanti saya harap kami tidak ‘overdo’ atau berlebih-lebih dalam menonjolkan aksi sebab ada peminat yang kurang suka begitu.

“Kami cuma mahu semua enjoy sepanjang dua hingga tiga jam konsert berlangsung tanpa perlu menunjukkan siapa hebat atau sebagainya. Janji penonton puas,” katanya ketika wawancara bersama media, baru-baru ini.

Hadir sama dalam sesi yang kemudian disambung dengan latihan antara kedua-dua band itu adalah anggota kumpulannya, Joe Branko (gitar), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard).

Menurut Muss lagi, selain persediaan rapi, perkara utama sebelum sesebuah konsert adalah menjaga kesihatan serta memastikan stamina pada tahap tertinggi.

“Mana-mana penyanyi dan pemuzik pun akan memastikan fizikal dan mental sentiasa bersedia kerana kita beraksi berjam-jam dengan hanya berehat seketika, jadi banyakkan bersenam,” katanya lagi.

Sementara itu, gitaris Search yang mewakili kumpulannya, Kid, 55, setiap band bakal membawakan 10 lagu hits masing-masing, selain berkongsi pentas untuk beberapa dendangan lagi dalam segmen istimewa yang menjadi kejutan.

Kid atau Hamzah Mohd Taib mendedahkan lebih 20 lagu kini berada dalam senarai akhir pilihan dengan beberapa lagu lain dibawakan secara medley dan duet.

“Setiap band mungkin akan bawa 10 buah lagu dan berbelas lagu-lagu lain secara duet dan medley. Kita juga fokuskan lagu dalam Double Trouble 2 kerana penglibatan Muss dalam album tersebut,” katanya.

Selain Kid, Search membariskan Noordin (gitar), Yan (bass), Minn (dram) dan Firdaus (keyboard) serta vokalisnya Denden Gonjalez yang sudah berada di Kuala Lumpur sejak tiga minggu lalu.

Denden yang berasal dari Indonesia pula mengakui tidak sabar bertemu peminat tempatan selepas kejayaan Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, tahun lalu.

“Saya semakin serasi dengan semua anggota Search selepas beberapa kali mengadakan persembahan susulan kejayaan konsert mega Search Jun lalu.

“Saya teruja menjadi sebahagian daripada sejarah Double Trouble 2 yang menggabungkan dua band ikonik Search dan Barbarik ini,” tambah penyanyi berusia 40 tahun itu.

Sementara itu, penganjur turut mengelolakan Festival Thrift & Rock the City di perkarangan Stadium Malawati selama dua hari bermula pada 4 sehingga malam konsert.

Antara aktiviti adalah wayang pacak, taman tema kanak-kanak, pertandingan goreng gitar solo, bengkel melukis jaket, perlawanan Playstation, selain lebih 60 gerai jualan.

Konsert Double Trouble 2 dianjurkan Alpha Nation, manakala pengurusan produksi Laskhar Entertainment dan Playmad Sdn Bhd serta urusan promosi dibawah Mewah Event Management (MEM).

Tiket boleh dibeli melalui laman www.ilassotickets.com atau hubungi tiket hotline di 011 1329 7822 (Whatsapp Sahaja) pada berharga RM199, RM169, RM129, RM179, RM139, RM159 dan RM359 (VIP). 

Sumber : Kosmo