Bangga ‘tayang’ buat eksperimen sosial makan di kedai walau tak cukup dos vaksin, akhirnya kena cekup polis

POLIS Klang Selatan menahan seorang lelaki dan seorang wanita apabila tular satu kenyataan di laman sosial Facebook berkenaan satu eksperimen sosial yang dilakukan mereka iaitu masuk ke beberapa premis perniagaan dan makan di kedai makan walaupun belum mendapat dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan satu kenyataan pemilik akaun Facebook bernama Mujaheeda Soleha, yang mendedahkan tentang eksperimen sosial beliau masuk ke beberapa kedai dan gambar makan di dalam kedai bersama anak dan suami walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin, lapor Astro AWANI.

“Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya kepada Astro AWANI.

Perkongsian mereka turut mengundang rasa kurang senang masyarakat yang menganggap mereka seakan-akan cuba mencabar undang-undang.

Beberapa selebriti turut dilihat berkongsi kegelisahan atas perlakuan individu terbabit yang membahayakan nyawa individu lain.

Sumber: Astro AWANI