Salah faham punca kejadian lempar barang pelanggan J&T Express – “Maafkan kami”

TUJUH pekerja syarikat kurier J&T Express Perak hari ini membuat permohonan maaf berikutan satu rakaman video yang tular menunjukkan barangan pelanggan mereka dicampak di salah satu gudang mereka sejak semalam, lapor Kosmo!

Dalam video berdurasi 57 saat yang dimuat naik melalui Facebook J&T Express Malaysia – Perak, salah seorang daripada mereka menafikan terdapat isu dalaman mereka dengan pihak J&T Express atau masalah pemotongan gaji.

“Kebelakangan ini tular satu video di media sosial tentang pekerja tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan mencampak barang pelanggan.

“Kami ingin memohon maaf dan menjelaskan bahawa tiada isu dalaman atau potongan gaji antara syarikat dan pekerja J&T Express Perak,” katanya.

Menurutnya, mereka juga tidak melakukan tindakan mogok seperti dakwaan yang tular.

“Kami sekali lagi ingin memohon maaf kerana menjejaskan nama pihak syarikat dan menjejaskan barang-barang rakyat Malaysia.

“Kami sedaya-upaya akan hantar barangan pelanggan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, J&T Express Malaysia Perak dalam kenyataannya meminta maaf atas sikap pekerja mereka dalam mengagihkan bungkusan dengan ganas dan tidak menyenangkan.

“Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada para pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Di samping itu, pihak J&T Express juga ingin menjelaskan tiada pekerja yang mogok mengenai komisen. Segala yang berlaku adalah salah faham semata-mata,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kurang jelas dengan sistem pengagihan bonus dalam kalangan pegawai jabatan didakwa menjadi punca kejadian mogok serta tindakan melempar barangan milik pelanggan oleh kakitangan J&T Express yang tular sejak semalam.

J&T Express menerusi satu kenyataan berhubung kejadian itu berkata, pihak syarikat memohon maaf kepada semua yang terkesan dan sedia menerima pendapat serta cadangan orang ramai.

“Untuk menjamin kebajikan pekerja, kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kebenaran tentang apa yang terjadi kepada orang ramai.

“Kami komited membangunkan sistem pampasan dan faedah yang lengkap untuk meningkatkan faedah pekerja, jadi J&T telah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun setelah pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus, serta Undang-Undang Perburuhan Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bonus penuh dibayar kepada pekerja yang telah bekerja selama satu tahun dan bonus dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun.

“Oleh kerana kurang jelas sistem pengagihan bonus di kalangan pegawai jabatan, ia menyebabkan pengagihan bungkusan secara ganas yang berlaku pada 4 Februari lalu termasuk menghasut beberapa pekerja untuk membuat gangguan serta menyebarkan video ke media sosial.

“Kami ingin menjelaskan bahawa J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja, dan pihak kami akan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung insiden tersebut, J&T Express sekali lagi meminta maaf atas kekurangan dalam pengurusan yang telah menyebabkan rasa tidak puas hati dan kerugian kepada pelanggan mereka.

“Kami akan memikul semua tanggungjawab yang harus kami pikul dengan segera untuk meningkatkan standard pengurusan dan perkhidmatan kami seperti menyediakan latihan lebih profesional untuk memberikan perkhidmatan ekspres yang boleh dipercayai dan cekap kepada pengguna Malaysia,” ujar kenyataan itu.

Difahamkan, Pengurusan J&T Perak telah menangani dan menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku pada kakitangan terlibat dan pada 5 Februari lalu, para pekerja telah menjalankan tugas seperti biasa untuk menyusun serta memproses bungkusan pelanggan.

Sumber: Kosmo!