Geng Basikal ni tak faham bahasa ke?

MASIH terdapat segelintir kumpulan berbasikal yang seolah-olah tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0).

Perkara itu boleh disaksikan menerusi tindakan golongan tersebut yang masih meneruskan aktiviti berbasikal secara berkumpulan khususnya di kawasan ibu kota.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, perkara itu sudah diperjelaskan menerusi SOP yang dikeluarkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

“Aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan tidak melebihi 10KM dari tempat tinggal (kediaman).

“Kayuhan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tegas Zainal, polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP meskipub melakukan aktiviti riadah.

Hasil pemantauan pihak polis mendapati masih terdapat beberapa kumpulan berbasikal yang meneruskan aktiviti berkenaan antaranya melibatkan kawasan sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dan Jalan Raja Laut.

Dalam masa sama, polis turut memohon kerjasama orang ramai agar segera membuat aduan sekiranya terdapat aktiviti sedemikian yang masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. – TheNewsMalaysia