Persoalan siapa PM ke-9 bakal terjawab hari ini?

Background photo created by creativeart - www.freepik.com

PERSOALAN atau teka-teki berhubung Perdana Menteri baharu berkemungkinan akan terjawab hari ini.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mempunyai sejumlah 114 sokongan atau surat akuan (SD) yang tertinggi.

Perkara itu juga turut dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tular di aplikasi WhatsApp.

Kesemua 114 ahli Dewan Rakyat itu akan dipanggil ke Istana Negara hari ini.

Difahamkan kesemua mereka dijadual akan menuju ke Istana Negara dari World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) dengan menaiki bas. Ahmad Maslan juga dalam masa sama menyatakan hanya pihak yang menang dijemput ke Istana Negara bagi tujuan pengesahan.

Perkara itu juga secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Ismail Sabri berkemungkinan merupakan calon yang menang. Bagi penjadualan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap pada pukul 10 pagi disusuli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada pukul 11 pagi.

Pada pukul 2 petang adalah sesi menghadap bagi UMNO dan BN, manakala yang terakhir ialah Pas pada pukul 4 petang.

Sementara itu, Istana Negara semalam dalam satu kenyataan menyatakan Perdana Menteri baharu hendaklah melalui proses undi percaya di Parlimen bagi mendapat keabsahan.

Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Jumaat untuk membincangkan isu-isu semasa, dipercayai menyentuh pembentukan kerajaan baharu.

Perkembangan politik negara ini menyusul peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada Isnin disebabkan hilang kepercayaan majoriti berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO sebelum itu.