#JusticeforBella: Suspek kes dera akan didakwa esok

PENGASAS Rumah Bonda yang sebelum ini dikatakan terlibat dengan kes penderaan seorang remaja Sindrom Down bakal didakwa esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.

Pada Jun lalu, polis telah menerima laporan berhubung kes penderaan remaja Sindrom Down tersebut yang ditemui dengan kesan melecur di anggota badan.

Polis turut membuat permohonan reman terhadap suspek bagaimanapun Mahkamah Majistret menolak permohonan tersebut berikutan ia dibuat melebihi tempoh 24 jam.

Sebelum ini, kisah remaja berkenaan yang dikenali sebagai Bella mendapat perhatian masyarakat selain ia turut tukar di media sosial dengan tanda pagar #justiceforbella.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur turut bertindak menyita rumah perlindungan tersebut sebaik sahaja kes berkenaan tular.

Setakat ini, Bella difahamkan berada di bawah jagaan Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.

Baru-baru ini juga, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika itu memaklumkan Bella kini telah mula menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelumnya yang ditemui dalam keadaan trauma.