Lelaki 23 tahun belasah warga emas di Padang Jawa diberkas polis

SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai memukul lelaki warga emas, berhampiran jejantas di Padang Jawa, Shah Alam, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira am 12 tengah hari tadi dan tular di media sosial, lapor Berita Harian.

Katanya, mangsa iaitu pesara swasta berusia 61 membuat laporan mengenai kejadian itu pada jam 2 petang.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa memandu bersama isteri serta cucu untuk ke Putrajaya dan ketika sedang membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue (Seksyen 16), suspek yang menaiki motosikal berada di sebelah kiri kereta mangsa menjerit dan memarahi mangsa.

“Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran. Selepas keluar dari kereta, suspek berusia 23 tahun terus menendang mangsa di dada kiri.

“Lelaki itu juga mendakwa suspek duduk atas badannya dan menumbuk muka serta kepala mangsa bertubi-tubi yang menyebabkan mangsa mengalami bengkak bawah mata, kepala serta sakit bahagian rusuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok.

Katanya, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syuhada di talian 018-9124770.

Rakaman 21 saat yang memaparkan seorang lelaki yang memakai topi keledar memukul seorang lelaki warga emas di tengah jalan tular di media sosial sejak petang tadi.

Warga maya turut mengecam tindakan suspek yang diaggap tidak berperikemanusiaan.

Sumber: Berita Harian