Elon Musk rugi lebih RM215 bilion sejak umum hasrat beli Twitter

TAIKUN teknologi, Elon Musk dilaporkan kehilangan lebih AS$49 bilion (RM215.35 bilion) sejak beliau mengumumkan rancangan untuk membeli rangkaian sosial Twitter bulan lalu.

Menurut Indeks Bilionair Bloomberg, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu bagaimanapun kekal di kedudukan teratas senarai individu terkaya walaupun sekitar satu perlima kekayaannya menyusut sejak awal April lalu, lapor Kosmo.

Dia kini memiliki kekayaan mencecah AS$209.9 bilion (RM922.19 bilion).

Pada Rabu lalu, saluran berita itu mendakwa bahawa kerugian Musk sebahagiannya disebabkan oleh penurunan harga saham Tesla ke paras terendah tahun ini, menyebabkan beliau kehilangan kira-kira AS$12.3 bilion (RM54.04 bilion). 

Bloomberg pula melaporkan bahawa penurunan mendadak nilai Tesla itu disebabkan oleh kebimbangan pelabur mengenai rancangan Musk membiayai pembelian Twitter.

Nilai saham Tesla susut 18.5 peratus bulan ini selepas merudum 19 peratus April lalu. 

Pada 4 April lalu, Musk mendedahkan bahawa beliau memiliki 9.2 peratus pegangan dalam Twitter. Pada 14 April pula, bilionair itu mengumumkan bersedia membeli rangkaian sosial tersebut pada harga AS$44 bilion (RM193.3 bilion).

Bagaimanapun minggu lepas, Musk mengumumkan menangguhkan pembelian itu yang menyebabkan harga saham Twitter jatuh serta-merta sebanyak 20 peratus.

Pada 17 Mei lalu, Twitter memfailkan permohonan awal dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) untuk penjualan sahamnya kepada Musk.

Laman media sosial terkenal itu turut menjelaskan hasrat mereka untuk menyelesaikan perjanjian jual beli itu secepat mungkin.

Sumber: Kosmo