Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ bergema di LRT Bangsar

BEBERAPA lokasi utama di ibu kota hari ini menjadi tumpuan pihak polis susulan Himpunan #TangkapAzamBaki yang berkumpul sejak awal pagi.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat tiba ke LRT Bangsar bagi bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, perhimpunan dikatakan berjalan dengan lancar termasuk kawalan daripada pihak polis.

Setakat ini, tiada sebarang provokasi tercetus sebaliknya peserta dilihat berarak sambil bernyanyi, memalu gendang dan melaungkan beberapa kata-kata.

Antara yang berulang kali dilaungkan ialah “Tangkap Azam Baki”, “Rombak SPRM” dan “Hidup Rakyat”.

Bahkan, peserta himpunan turut bertepuk tangan, berterima kasih kepada anggota polis yang memberikan laluan buat mereka dan mengawal keadaan.

Antara pemimpin politik yang dilihat hadir ialah Ketua Dapsy, Howard Lee Chuan How, Bendahari Muda, Tarmizi Anuwar dan aktivis politik, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh.

Tidak ketinggalan, jaguh badminton negara, Lee Zii Jia turut berada di sekitar kawasan perhimpunan.

Perarakan dikatakan akan menuju ke kawasan Brickfields sebelum bermulanya ucapan perhimpunan berkenaan.