Aktivis masyarakat, Abang Ali maut kemalangan motosikal

AKTIVIS masyarakat terkenal, Yusuf Azmi mengesahkan rakan aktivisnya, Ali Salimin telah menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi.

Ali yang mesra dengan panggilan Abang Ali dikatakan mengalami kemalangan motosikal di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh Arah Selatan.

Menurut Yusuf, beliau kini dalam perjalanan ke Hospital Muar, Johor untuk menuntut dan memandikan jenazah Allahyarham dan memohon orang ramai mendoakan Allahyarham.

“Saya mohon semua tolong bacakan Al-Quran untuk abang saya. Beliau orang yang baik, sentiasa ada dengan saya dan telah banyak membantu keluarga saya. Jatuh dan bangun bersama, sentiasa duduk dengan saya.

“Ketika saya susah, beliaulah antara orang yang ada dengan saya ketika saya jatuh,” kata Yusuf dalam sesi live di laman Facebooknya sebentar tadi.

Dalam pada itu, beberapa gambar kemalangan di lokasi kejadian turut mula tersebar di laman sosial.