Kementerian Pengangkutan tubuh pasukan khas, insiden tren bertembung

KEMENTERIAN Pengangkutan bakal menubuhkan pasukan petugas khas berhubung insiden kemalangan melibatkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penubuhan pasukan itu bagi menyiasat insiden tersebut dalam tempoh dua minggu.

Datuk Seri Wee Ka Siong meninjau tren yang terbabit kemalangan.

“Ini merupakan kejadian pertama kali selepas 23 tahun (LRT) Laluan Kelana jaya ini beroperasi. Kerajaan berasa sedih dengan kemalangan ini.

“Kementerian akan tubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kejadian ini dan esok Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Azlan Shah Al Bakri, akan menghantar laporan awal kemalangan ini kepada saya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh berkenaan, pasukan khas itu juga akan mengumpulkan hasil siasatan sebelum dikenal pasti punca sebenar kejadian.

Dapatan itu juga akan menentukan sama ada ia berpunca daripada kesilapan sistem signal atau komunikasi, ataupun kesilapan manusia.

“Kita akan pastikan apa punca yang menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya pada sidang media di Avenue K malam ini.

Beliau juga memaklumkan, Prasarana sedang menguruskan perkhidmatan alternatif kepada penumpang di stesen lain yang masih terkandas.

Dalam pada itu, Prasarana juga akan mengemas kini mengenai perkhidmatan LRT dalam masa terdekat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua mereka sudah dikeluarkan dan dihantar ke hospital.