Tren dilapor brek mengejut, penumpang LRT laluan Kelana Jaya cedera

BEBERAPA penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera dalam satu kejadian dipercayai akibat tren brek secara mengejut, hari ini.

Rapid KL menerusi laman Facebooknya berkata, berlaku satu insiden di laluan Kelana Jaya membabitkan dua buah tren, lapor Kosmo!

Pihak Rapid Kl turut memohon maaf atas kejadian tersebut dan akan menyelesaikan secepat mungkin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut.

“Berdasarkan laporan awal yang diterima, tren berkenaan telah brek mengejut dan bukan disebabkan pelanggaran.

“Beberapa penumpang telah terjatuh dan tercedera. Kita akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihak Prasarana Malaysia Berhad turut mengesahkan kemalangan yang melibatkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya itu, tren yang terlibat disahkan bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” jelas kenyataan tersebut.

Sumber: Kosmo!