Uncle Kentang Terima Anugerah ‘Point Of Light’ Dari Ratu Elizabeth II

SEBUT sahaja Uncle Kentang, sudah pasti ramai yang mengenali aktivis sosial yang kerap membantu masyarakat dalam melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan.

Baru-baru ini, tular khabar mengenai Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang ini bakal menerima anugerah ‘Point of Light’ dari Ratu Elizabeth II diatas segala sumbangannya kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun, beliau mendedikasikan anugerah itu kepada semua rakyat Malaysia yang bersikap prihatin dalam menghulur sumbangan dan sokongan bagi menjayakan misi bantuan yang dilancarkannya.

Perkongsian Uncle Kentang di Facebook

Katanya melalui satu perkongsian di Facebook, “Saya dengan rendah diri memaklumkan penghargaan itu bukan untuk saya sendiri tetapi ia adalah hak anda semua dan hak rakyat Malaysia”.

“Maka itu saya hanyalah wakil yang hadir untuk menerima anugerah tersebut di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir baginda pada 12 Jun ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook semalam”, jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Uncle Kentang juga berharap anugerah itu dapat menjadi penguat semangat kepada masyarakat untuk membina sebuah negara majmuk yang bersolidariti serta serta saling bantu-membantu tanpa mengira kaum, agama, politik dan darjat.

‘Point of Light’ merupakan anugerah yang dikurniakan kepada individu dari negara anggota Komanwel sebagai tanda pengiktirafan kerja sukarelawan insan yang membuat perubahan dalam komuniti mereka.

Sementelahan, beliau juga menjadi rakyat Malaysia keempat menerima anugerah tersebut dengan antara penerima terdahulu ialah doktor patung beruang, Dr. Madhusudhan Shanmugam dan penyelidik tuntung, Dr. Chen Pelf Nyok.

Uncle Kentang akan dijadualkan menerima anugerah itu di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir baginda pada 12 Jun 2021.