Elak risiko penularan, kaunter saman di KLCC ditutup serta merta

POLIS telah mengarahkan penutupan kaunter bayaran saman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berkuat kuasa serta merta mulai petang Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, langkah itu susulan bagi mengawal tercetusnya kesesakan.

“Kaunter pembayaran saman di KLCC sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ditutup mulai petang 10 Disember 2021.

“Ia bagi mengelakkan kesesakan orang ramai , tiada penjarakan fizikal dan keadaan yang sukar dikawal yang mana akan memberikan risiko kepada berlaku penularan jangkitan Covid -19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sarifudin menyarankan agar orang ramai membuat bayaran saman di mana-mana kaunter cawangan trafik di seluruh negara.

Langkah itu juga dibuat susulan arahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bimbang berkemungkinan berlakunya penularan COVID-19.

Malah, Penganjur Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) berjumlah RM1,000 susulan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pada Khamis, media melaporkan kaunter pembayaran saman yang menawarkan diskaun hingga 80 peratus sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia mendapat sambutan hangat apabila ramai yang sanggup beratur panjang seawal jam 9 pagi.