Tular buli: Polis panggil kesemua pelajar beri keterangan

POLIS telah memanggil kesemua pelajar yang tular menerusi video insiden buli melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu berlaku pada awal pagi Khamis.

Menurutnya lagi, insiden itu membabitkan melibatkan tujuh suspek dan seorang mangsa, kesemuanya berumur 13 tahun.

“Pihak polis juga mengesahkan telah menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan daripada Pengetua sekolah tersebut lebih kurang jam 1 tengah hari, Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tegasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Ini termasuk menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sebaliknya membuat aduan di pihak sepatutnya.

Video tular berdurasi 10 minit itu menyaksikan sekumpulan pelajar yang membuli seorang pelajar apabila mangsa dipukul secara bergilir-gilir.