Tular buli: Polis kenal pasti pelajar dan sekolah

POLIS telah mengenal pasti kesemua pelajar yang tular menerusi video tular memaparkan insiden buli.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti sekolah berkenaan dan siasatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar untuk menjalankan siasatan bila kejadian ini berlaku, kadang-kadang kejadian ni berlaku lama diviralkan semula tetapi saya tidak dapat bagi pengesahan dulu, biar kita siasat dan bila kita dah jalankan siasatan, saya akan bagi, saya akan kongsi maklumat dengan media,” katanya hari ini.

Menurutnya lagi, video tular berdurasi 10 saat itu dikatakan berlaku di Kuala Kangsar bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan terlebih dahulu.

Video berkenaan memaparkan sekumpulan pelajar melakukan kegiatan buli apabila bertindak memukul seorang pelajar secara bergilir-gilir.

Perbuatan itu telah mengundang perasaan tidak puas hati ramai pihak selain menuntut kesemua mereka diambil tindakan lanjut.