Bagi pelempang kat cashier hamil sehingga viral, pemandu lori ais didenda RM1,500

GARA-GARA menampar seorang juruwang hamil di sebuah pasar raya sehingga viral di media sosial, seorang lelaki diarah membayar denda RM1,500 di Mahkamah Klang, Selangor hari ini.

Tertuduh, Izuandy Efendi 38 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Nor Amalina.

Pada 29 November lalu, tertuduh telah bertindak menampar seorang juruwang yang juga dalam keadaan hamil berikutan berlaku salah faham di sebuah pasar raya di Klang.

Mangsa difahamkan secara tidak sengaja tercampak keluar barangan yang ingin dimasukkan ke dalam plastik ketika pembayaran di kaunter ketika kejadian sekitar jam 9.30 malam.

Insiden yang viral di media sosial itu tercetus apabila isteri tertuduh mengadukan perkara tersebut sebelum tertuduh bertindak menampar mangsa.

RAKAMAN CCTV tindakan tertuduh menampar juruwang berkenaan yang viral di media sosial.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin A/P Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun tertuduh yang juga merupakan seorang pemandu lori ais telah dibebaskan selepas selesai membayar denda tersebut hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mencederakan. – TheNewsMalaysia