Akhirnya pemberian vaksin bermula, PM individu pertama terima suntikan.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi individu pertama di negara ini disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech. 

Perkara tersebut merupakan sebahagian dari salah satu simbolik pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan. 

Muhyiddin disuntik di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 jam 2.42 petang tadi oleh jurusuntik Kementerian Kesihatan, Lina Ibrahim yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. 

Ia disusuli Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Putrajaya turut menerima vaksin hari ini. 

Antara kumpulan barisan hadapan lain yang terlibat menerima vaksin berkenaan terdiri daripada Dr Tan Yee Ling, 30, (pegawai perubatan); Sheila Melissa Sikin, 31, (jururawat), Khairul Asraf Mohd Yasin, 44, (penolong pegawai perubatan) dan Clement Marai Francism 36, (pemandu). 

Terdahulu, kesemua mereka diberikan taklimat penerimaan vaksin dan menandatangani borang persetujuan serta kebenaran vaksin. 

Kesemua penerima akan dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan kepada mereka.