“Tak rasa apa pun, jangan lupa daftar untuk dapatkan vaksin” – PM

TIADA sebarang kesan sampingan pada kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah memaklumkan pengambilan vaksin berkenaan tidak mengalami sebarang kesakitan dan kesan sampingan selepas diberi tempoh 30 minit untuk pemerhatian.

“Vaksin ini cukup selamat dan berkesan, kalau tengok keadaan saya Alhamdulillah dan saya merayu kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tampil daftar di MySejahtera untuk mendapatkan giliran vaksin.

“Tak rasa apa pun, macam suntikan biasa je,” katanya ringkas sebaik sahaja selesai menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19 hari ini,

Jelasnya lagi, suntikan vaksin fasa pertama terhadapnya merupakan dos yang pertama sebelum dos seterusnya akan diberikan pada 17 Mac depan.

Sementara itu, beberapa individu lain yang juga kumpulan barisan hadapan berkongsikan perkara sama sebaik sahaja selesai menerima vaksin.

Hasil pemerhatian mendapati tiada sebarang kesan sampingan setakat ini melibatkan kesemua mereka yang menerima suntikan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Perdana Menteri.